Ahad, 23 Oktober 2011

Hati Ini MilikNya



Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah, pujian selayaknya untuk Allah, memberi dan terus memberi tanpa pernah sekali pun meminta. Taklifat yang banyak benar-benar menguji perjalanan kehidupan seseorang individu muslim yang meletakkan dirinya dalam kelelahan perjuangan yang panjang.

Sebagai seorang hamba Allah, anak, wanita, pelajar dan daeiah atau murabbiah. Kesyukuran yang tidak berbelah bagi juga buatMu ya Allah yang masih memberi peluang merasai segarnya haruman iman dan Islam, sentuhan tarbiyah dan ukhwah yang sentiasa memandu keikhlasan amal yang menuntut sesebuah hak yang besar.

Mungkin kali ini artikel agak simple, seronok sebenarnya menulis tanpa terikat dengan format rasmi. Mungkin ada masanya kita senang menguntaikan kalimah yang mudah dalam menyampaikan maani-maani penting buat hati-hati manusia yang membacanya.

Imam syahid Hasan Al-Banna pernah ditanya

“Kenapa anda tidak menulis buku?

IHAB menjawab “buku akan diletakkan di perpustakaan dan hanya sedikit orang yang akan membacanya, tetapi apabila kita membina seorang manusia, manusia tersebut adalah buku yang sentiasa terbuka, kemana sahaja dia berjalan, itu adalah dakwah”

Dan apabila kita meyakini kemenangan Islam akan dicapai dengan membentuk diri dengan sepuluh sifat yang baik ditambahkan pula dengan memberi segalanya buat manusia yang dahaga dalam kepanasan teriknya matahari jahiliyah yang membakar diri, maka disitulah hadirnya pengorbanan dan perubahan diri yang berubah untuk manfaat tersebut.

Sebagai contoh, sifat sebelum ini yang menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang mungkin kurang disenangi oleh orang lain akan berjaya kita ubah kerana memikirkan metode yang dapat menarik minat mad’u kepada daeinya.

Seseorang yang tak suka tersenyum, berubah menjadi manusia yang sangat manis senyumannya kerana hanya itu sahaja cara untuk orang lain menyenangi kita..semata-mata untuk dakwah ini.

Rasulullah s.a.w bersabda

“Senyumanmu pada saudaramu adalah sedekah”

Dan tanpa disedari, hanya dengan kuasa senyuman sahaja mampu untuk melahirkan masyarakat Islam yang wajahnya bercahaya dan saling mencintai. Ini juga adalah barakah daripada sebuah senyuman yang tulus buat saudaranya yang sangat dicintai di jalan Allah.

Allah s.wt pernah menegur Rasulullah tatkala baginda bermasam muka saat ditanya oleh Ibnu Maktum R.A. Allah berfirman

“Dia (Muhammad) bermasam muka dan berpaling, kerana seorang buta yang datang kepadanya. Dan tahukah Muhammad barangkali dia ingin menyucikan dirinya?”
(‘Abasa 1-3)

Contoh ini jelas sebenarnya menunjukkan metode dakwah dan manhaj tarbiyah Rabbani dalam perjuangan baginda yang sangat dirindui.

Antara contoh lain, kita memang bukan seorang yang mudah menghafal nama-nama saudara yang baru kita jumpa. Tapi apabila memikirkan hati mad’u yang sangat senang kita dekati apabila memanggilnya dengan panggilan namanya yang baik..maka disitulah secara seriusnya kita akan memikirkan cara yang terbaik untuk mudah menghafal nama orang dan keistimewaan yang dimilikinya

Rasulullah s.a.w, seorang daei yang selalu menjadi ketenangan dan kesenangan buat hati umatnya, sering mengungkapkan kalimah-kalimah manis yang membuatkan hati mad’unya berkembang mekar apabila mendengar kata-kata tersebut.

Kisahnya begini..

Ada beberapa orang yang ingin menjumpai Rasulullah saw. Salah seorang di antara mereka menceritakan,
"Kami berusaha mencari tahu tentang Rasulullah, kerana kami belum pernah mengenal dan melihatnya.

Kami bertemu dengan seorang lelaki, lalu kami bertanya kepadanya tentang Rasulullah. dia menjawab, 'Apakah kalian mengenalnya?'

Kami menjawab, 'Tidak.'

dia berkata, 'Jika kalian masuk ke dalam masjid, maka Muhammad adalah seseorang yang duduk bersama Abbas bin Abdul Muthalib yang tak lain adalah ayah saudaranya.

Kami menjawab, 'Ya, kami mengenal Abbas, dia sering datang kepada kami untuk berdagang.' dia berkata, 'Jika kalian masuk masjid, maka Muhammad adalah orang yang duduk bersama Abbas.'

Kemudian kami masuk ke dalam masjid dan kami menjumpai Rasulullah yang sedang duduk bersama Abbas. Kami memberi salam, lalu duduk di dekat mereka.

Kemudian Rasulullah bertanya kepada Abbas, 'Wahai Abu Fadl apakah engkau mengenal dua orang ini?'

Abbas menjawab, 'Ya. Ia adalah Bara' bin Ma'rur, seorang pemuka kaum dan ini Ka'ab bin Malik.'

Rasul bertanya, 'Apakah dia penyair yang terkenal itu?' Abbas menjawab, 'Ya.'"

Sungguh, saya tidak pernah melupakan ucapan baginda, "Apakah dia penyair yang terkenal itu?"

Demikianlah metode Rasulullah dalam memikat hati mad'unya.

MasyaAllah akhawat, betapa indahnya peribadi qudwah hasanah yang sering bertamu dihati ummat yang terlalu menginginkan untuk sentiasa berada disisinya.

Semuanya kerana dakwah..

Dan yang paling penting juga seharusnya selepas ikhlas kita sematkan dihati dan selepas itu sentiasalah bermonolog pada diri bahawa segala juhud dan perngorbanan yang kita buat adalah hanya salah satu amal kebajikan di jalan Allah dan bukanlah disebabkan kita dia mendapat petunjuk tetapi semuanya adalah dengan keizinan Allah dan kita akan mencuba dan terus mencuba

Imam Syahid Hasan Al-Banna pernah bertanya kepada seorang akh

“Jika dihadapanmu ada sejemput gula pasir dan sejemput garam, bagaimana anda dapat membezakannya?

Akh itu menjawab “Saya akan merasai keduanya, kerana dengan merasainya pasti kita akan dapat membezakan”

IHAB lantas menyimpulkan “Seperti itu jugalah dakwah, kita akan merasai kepahitan dan kemanisannya”

Akhirnya, jadilah seorang ukhti yang hangat dan bertaamul dengan manusia dengan ruh dan perasaan, cinta kerana Allah yang menjadi kunci membuka pintu hati manusia dan akhirnya bekerjalah

Allah berfirman

“Dan katakanlah, bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasulnya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata, lalu diberitaknNya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan” (At-Taubah 105)

Semoga terus dengan hamasah jihad yang membara

Wallahu A’lam