Rabu, 29 Februari 2012

Intisari Hidup Hamba Rabbani

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, maha suci Allah, pujian kepada Allah dalam setiap episod kehidupan yang berlaku dalam rantaian kehidupan manusia. Episod kehidupan yang membawa hamba Allah semakin dekat dengan robbnya. Kehidupan duat yang membawa islam semakin dekat dengan kemenangan yang dijanjikanNya. Semua episod ini pasti akan menjadi zikrayaat atau kenangan yang paling indah apabila hati ini kembali semula kepada Pencipta di negeri akhirat nanti.

Apabila kaki kita melangkah dari hari ke hari dengan langkahan yang baru, pasti berbagai pengalaman, pengajaran, kenangan suka dan duka yang tercipta. Ada peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita menyebabkan kita semakin bersemangat untuk terus melangkah lagi dan tertanya-tertanya apa lagi episod indah yang Allah susunkan. Dan ada juga terselit peristiwa yang sukar untuk kita lalui dan itu yang menyebabkan manusia semakin kecewa untuk menghadapi detik-cetik kehidupan yang mendatang.

Tetapi ketahuilah, gambaran seorang hamba Allah yang beriman tentang kehidupan dunia adalah dalam lingkungan keredhaan Allah s.w.t dan berbeza dengan hamba yang ingkar. Hamba yang beriman pasti mengimani corak nikmat yang dimilikinya di dunia adalah sandaran untuk memiliki ganjaran yang lebih kekal.

“ Apapun kenikmatan yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan kenikmatan yang ada disisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Allah mereka bertawakal. “ –Assyura ayat 36

Hamba Allah yang beriman juga percaya dan yakin dengan setiap ujian yang dihadapinya adalah salah satu tanda kecintaan Allah dan peningkatan ke darjat yang lebih tinggi di sisi Zat yang lebih kekal. Hamba yang beriman ini menjadikan contoh-contoh kesabaran rasul-rasul terdahulu sebagai hiburan di saat hati gundah dengan helaian ujian yang silih berganti.

Mereka yang memahami manhaj tarbiyah dan bergerak dengan hamasah atau semangat untuk meletakkan Islam sebagai kayu ukur kehidupan dalam segenap aspek juga adalah golongan yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk memandang dengan mizan rabbani di setiap acuan yang berlaku dalam kehidupan yang diselusurinya sepanjang hidup.

Bermula dengan generasi sahabat yang mendapat didikan secara langsung oleh Rasulullah yang amat kita rindui. Mereka adalah generasi pertama yang bergerak dan bernafas dengan udara tarbiyah rabbaniah dan kesannya kehidupan ketika jahiliyah yang dirasakan tanpa tujuan bertukar kepada kefahaman yang jelas tentang tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi (perhambaan semata-mata kerana Allah/taabbud kholis lillah)
Sukar untuk membayangkan, bagaimana jelasnya hadaf (tujuan) mereka untuk meninggikan kalimah Allah dan sayangnya mereka kepada rasulullah membuatkan mereka tidak kekok untuk meletakkan syahid di jalan Allah adalah impian terindah yang begitu diidamkan.

Perang Uhud yang menjadi pengajaran besar untuk umat Islam telah menjadi saksi qudwah sahabat dalam mempertahankan rasulullah.

Abu Talhah Al-ansori : Pemanah yang cekap dan sentiasa berada di hadapan rasulullah ketika saat-saat genting kemuncak kerakusan kuffar menyerang kekasih Allah. Beliau lantas berkata kepada baginda “Jiwa ragaku menjadi penebus kepada jiwamu dan mukaku adalah benteng kepada mukamu”

Abu Dujanah Simaak bin Kharasyah Al-Ansori : Menjadi benteng kepada rasullullah dengan tubuhnya. Satu persatu anak panah hinggap ditubuhnya tetapi tetap tegar berada di hadapan Rasulullah

Ziyad bin Imarah : Mempertahankan baginda sehingga beliau syahid dengan luka yang banyak. Saat luka parah yang dirasainya semakin memuncak, baginda terus membaringkan Ziyad di peha baginda sehinggalah beliau gugur syahid.

Jauh dihati sahabat kesanggupan mereka menggadaikan nyawa menjadi benteng untuk rasulullah adalah semata-mata kerana kemanisan nikmat cahaya keimanan yang dirasainya selepas kegelapan jahiliyah yang mencorak separuh kehidupan mereka dahulu.
Cinta kepada risalah adalah faktor utama mereka untuk tetap teguh berada di sisi baginda saat serangan bertubi-tubi musuh Allah cuba memutuskan nyawa islam yang semakin berkembang.

Generasi yang datang selepas pemergian rasulullah adalah generasi-generasi yang menggalas beban yang lebih besar. Kualiti kita pasti bukan sebaik kualiti generasi pertama tetapi lihatlah kepada ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t buat mereka yang benar-benar ikhlas beramal.

Jahiliyah yang ditempuh oleh generasi duat kini adalah jahiliyah yang sudah bercampur dengan berbagai pemikiran-pemikiran yang merosakkan. Jadi, yang menjadi bekalan kekuatan adalah kesabaran dan meneliti rentetan sirah kepayahan sahabat menyambung ruh dakwah sehingga generasi kini.

Kita benar-benar meyakini janji rasulullah tentang kehadiran khilafah rasyidah iaitu Negara khilafah yang terbina sesuai dengan ajaran Islam di akhir zaman. Negara yang memperbaharui semangat muslimin saat lelah dengan serangan bertubi-tubi sang jahiliyah.

Episod kehidupan mereka yang beramal untuk islam walaupun dihiasi dengan duri-duri mehnah tidak sama sekali mengubah pendirian mahupun himmah mereka. Malah ujian-ujian berat yang dihadapi adalah pembuktian kepada kebenaran jalan tarbiyah dan dakwah yang diimani, lantas menjadi penolak untuk terus mengimpikan bidadari-bidadari syurga yang setia menanti.

Seorang akh daripada Ikhwanul Muslimin yang ditangkap dan dipenjarakan sering tersenyum sendirian di sebalik jaring besi yang melingkarinya. Keadaan beliau menyebabkan seorang tahanan tertanya-tanya;

“kenapa kau sering tersenyum seolah-olah gembira dengan siksaan yang dihadapi?”

Dengan lapang hati si akh tadi menjawab;

“sebelum ni aku tertanya-tanya betulkah jalan tarbiyah dan dakwah yang aku ikut ni, tetapi siksaan dan kesusahan yang aku hadapi kini adalah jawapan kepada kebenaran yang kita fahami selama ni”

Selama-mana rancaknya kuffar menyerang dengan percubaan memutuskan satu-persatu nyawa umat Islam, selagi itulah generasi kebangkitan ini akan terus melangkah membina dan mempersiapkan rijal dengan panduan rabbani dan iringan malaikat-malaikat yang dihantar oleh Allah buat mereka yang meletakkan jihad sebagai wasilah melindungi agama Allah ini.

~ Teruskan berdoa untuk umat Islam di Syria, Palestin dan disemua tanah yang dipijak oleh umat Islam.