Khamis, 3 Mei 2012

Menumbuhkan Potensi Tarbiyah

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, segala pujian layaknya untuk Allah s.w.t, yang memandu hati-hati manusia, yang menjaga hambaNya untuk terus menyelusuri kehiduapan di bawah naungan cintaNya Sengaja mencuri waktu menulis, alhamdulillah imtihan syafawi dapat dilalui dengan baik tapi masih lagi mengharapkan kemudahan untuk kertas-kertas yang mendatang.

Kadang-kadang, hati manusia kan dilanda badai kefuturan yang datang bertimpa-timpa tapi selalunya di sebalik itu akan hadir bisikan-bisikan kasih sayang Allah seolah-olah membawa semula manusia ke posisi yang baik dalam hidupnya. Kadangkala juga, jiwa merasa kosong, kosong daripada cinta Allah. Tetapi, apabila niat dijernihkan, maka disitulah akan hadir ketenangan dan keyakinan bahawa Allah sentiasa ada untuk hambaNya. Sering menghantar risikan-risikan cinta yang menjadi bekalan untuk jiwa hamba terus hidup. Dan di sinilah tarbiyah memainkan peranannya.

Tarbiyah adalah cara yang paling ideal untuk berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung atau tidak langsung. Tarbiyah juga penting untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju kondisi yang lebih baik. Mungkin dalam bahasa yang lebih sederhana, tarbiyah merupakan pendidikan atau proses menjadikan objek tarbiyah iaitu manusia semakin sempurna potensinya.

Pasti tarbiyah ruhaniyah yang paling utuh untuk kita bicarakan. Ruh yang kuat dan dididik dengan cahaya keimanan yang diselangi dengan tarbiyah yang berterusan pasti dapat melahirkan peribadi seperti Syekh Ahmad Yasin, perhatikan kekurangan fizikal yang dialaminya tak membuatkan dakwah ni berjalan dengan penuh kekurangan dan kecuaian.

Asasnya, adakah kita sedar kepentingan tarbiyah ruhaniyah ini dalam memupuk dayausaha hamba rabbani yang menjadikan kekuatan dalaman sebagai senjata dan perisai untuk hati kita?

Dilapangan dakwah dan medan jihad akh/ukhti mujahidah sentiasa akan berhadapan dengan pelbagai tentangan. Ujian-ujian tersebut membuatkan jiwa kita tak berdaya menghadapinya dan kita akan lebih selesa untuk menjauhkan diri daripada sebarang risiko. Mereka yang dapat menghadapi kekurangan diri dan berlapang dada dengan sebarang kritikan pasti akan mendapat keberhasilan meskipun esok atau lusa, sedangkan yang lebih suke menyerah, mereka telah kalah untuk mendapat hasil yang lebih baik.

Jadi, mahu atau tidak, tarbiyah ruh adalah bekalan utama bagi pemuda dan aktivis dakwah dalam menghadapi pelbagai kesulitan dan persoalan dalam hidup. Mehnah yang berlaku dalam hidup kita akhirnya harus dihadapi dengan kualiti hati yang prima. Iman yang kuat kepada Allah, keyakinan yang teguh dalam misi ilahiyah yang dipikul, hingga keyakinan akan adanya hari pembalasan di hari akhirat kelak, merupakan unsur-unsur yang terus perlu diperkukuh dalam diri. Semua ini hanya boleh diwujudkan dengan pakej tarbiyah yang berterusan dan serius.

Wallahu a'lam

Rabu, 29 Februari 2012

Intisari Hidup Hamba Rabbani

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, maha suci Allah, pujian kepada Allah dalam setiap episod kehidupan yang berlaku dalam rantaian kehidupan manusia. Episod kehidupan yang membawa hamba Allah semakin dekat dengan robbnya. Kehidupan duat yang membawa islam semakin dekat dengan kemenangan yang dijanjikanNya. Semua episod ini pasti akan menjadi zikrayaat atau kenangan yang paling indah apabila hati ini kembali semula kepada Pencipta di negeri akhirat nanti.

Apabila kaki kita melangkah dari hari ke hari dengan langkahan yang baru, pasti berbagai pengalaman, pengajaran, kenangan suka dan duka yang tercipta. Ada peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita menyebabkan kita semakin bersemangat untuk terus melangkah lagi dan tertanya-tertanya apa lagi episod indah yang Allah susunkan. Dan ada juga terselit peristiwa yang sukar untuk kita lalui dan itu yang menyebabkan manusia semakin kecewa untuk menghadapi detik-cetik kehidupan yang mendatang.

Tetapi ketahuilah, gambaran seorang hamba Allah yang beriman tentang kehidupan dunia adalah dalam lingkungan keredhaan Allah s.w.t dan berbeza dengan hamba yang ingkar. Hamba yang beriman pasti mengimani corak nikmat yang dimilikinya di dunia adalah sandaran untuk memiliki ganjaran yang lebih kekal.

“ Apapun kenikmatan yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan kenikmatan yang ada disisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Allah mereka bertawakal. “ –Assyura ayat 36

Hamba Allah yang beriman juga percaya dan yakin dengan setiap ujian yang dihadapinya adalah salah satu tanda kecintaan Allah dan peningkatan ke darjat yang lebih tinggi di sisi Zat yang lebih kekal. Hamba yang beriman ini menjadikan contoh-contoh kesabaran rasul-rasul terdahulu sebagai hiburan di saat hati gundah dengan helaian ujian yang silih berganti.

Mereka yang memahami manhaj tarbiyah dan bergerak dengan hamasah atau semangat untuk meletakkan Islam sebagai kayu ukur kehidupan dalam segenap aspek juga adalah golongan yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk memandang dengan mizan rabbani di setiap acuan yang berlaku dalam kehidupan yang diselusurinya sepanjang hidup.

Bermula dengan generasi sahabat yang mendapat didikan secara langsung oleh Rasulullah yang amat kita rindui. Mereka adalah generasi pertama yang bergerak dan bernafas dengan udara tarbiyah rabbaniah dan kesannya kehidupan ketika jahiliyah yang dirasakan tanpa tujuan bertukar kepada kefahaman yang jelas tentang tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi (perhambaan semata-mata kerana Allah/taabbud kholis lillah)
Sukar untuk membayangkan, bagaimana jelasnya hadaf (tujuan) mereka untuk meninggikan kalimah Allah dan sayangnya mereka kepada rasulullah membuatkan mereka tidak kekok untuk meletakkan syahid di jalan Allah adalah impian terindah yang begitu diidamkan.

Perang Uhud yang menjadi pengajaran besar untuk umat Islam telah menjadi saksi qudwah sahabat dalam mempertahankan rasulullah.

Abu Talhah Al-ansori : Pemanah yang cekap dan sentiasa berada di hadapan rasulullah ketika saat-saat genting kemuncak kerakusan kuffar menyerang kekasih Allah. Beliau lantas berkata kepada baginda “Jiwa ragaku menjadi penebus kepada jiwamu dan mukaku adalah benteng kepada mukamu”

Abu Dujanah Simaak bin Kharasyah Al-Ansori : Menjadi benteng kepada rasullullah dengan tubuhnya. Satu persatu anak panah hinggap ditubuhnya tetapi tetap tegar berada di hadapan Rasulullah

Ziyad bin Imarah : Mempertahankan baginda sehingga beliau syahid dengan luka yang banyak. Saat luka parah yang dirasainya semakin memuncak, baginda terus membaringkan Ziyad di peha baginda sehinggalah beliau gugur syahid.

Jauh dihati sahabat kesanggupan mereka menggadaikan nyawa menjadi benteng untuk rasulullah adalah semata-mata kerana kemanisan nikmat cahaya keimanan yang dirasainya selepas kegelapan jahiliyah yang mencorak separuh kehidupan mereka dahulu.
Cinta kepada risalah adalah faktor utama mereka untuk tetap teguh berada di sisi baginda saat serangan bertubi-tubi musuh Allah cuba memutuskan nyawa islam yang semakin berkembang.

Generasi yang datang selepas pemergian rasulullah adalah generasi-generasi yang menggalas beban yang lebih besar. Kualiti kita pasti bukan sebaik kualiti generasi pertama tetapi lihatlah kepada ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t buat mereka yang benar-benar ikhlas beramal.

Jahiliyah yang ditempuh oleh generasi duat kini adalah jahiliyah yang sudah bercampur dengan berbagai pemikiran-pemikiran yang merosakkan. Jadi, yang menjadi bekalan kekuatan adalah kesabaran dan meneliti rentetan sirah kepayahan sahabat menyambung ruh dakwah sehingga generasi kini.

Kita benar-benar meyakini janji rasulullah tentang kehadiran khilafah rasyidah iaitu Negara khilafah yang terbina sesuai dengan ajaran Islam di akhir zaman. Negara yang memperbaharui semangat muslimin saat lelah dengan serangan bertubi-tubi sang jahiliyah.

Episod kehidupan mereka yang beramal untuk islam walaupun dihiasi dengan duri-duri mehnah tidak sama sekali mengubah pendirian mahupun himmah mereka. Malah ujian-ujian berat yang dihadapi adalah pembuktian kepada kebenaran jalan tarbiyah dan dakwah yang diimani, lantas menjadi penolak untuk terus mengimpikan bidadari-bidadari syurga yang setia menanti.

Seorang akh daripada Ikhwanul Muslimin yang ditangkap dan dipenjarakan sering tersenyum sendirian di sebalik jaring besi yang melingkarinya. Keadaan beliau menyebabkan seorang tahanan tertanya-tanya;

“kenapa kau sering tersenyum seolah-olah gembira dengan siksaan yang dihadapi?”

Dengan lapang hati si akh tadi menjawab;

“sebelum ni aku tertanya-tanya betulkah jalan tarbiyah dan dakwah yang aku ikut ni, tetapi siksaan dan kesusahan yang aku hadapi kini adalah jawapan kepada kebenaran yang kita fahami selama ni”

Selama-mana rancaknya kuffar menyerang dengan percubaan memutuskan satu-persatu nyawa umat Islam, selagi itulah generasi kebangkitan ini akan terus melangkah membina dan mempersiapkan rijal dengan panduan rabbani dan iringan malaikat-malaikat yang dihantar oleh Allah buat mereka yang meletakkan jihad sebagai wasilah melindungi agama Allah ini.

~ Teruskan berdoa untuk umat Islam di Syria, Palestin dan disemua tanah yang dipijak oleh umat Islam.

Rabu, 25 Januari 2012

Dakwah Adalah Muqaddimah Setiap Sesuatu

Assalamualaikum w.r.t
Alhamdulillah, segalanya buat Allah atas setiap perkara.

Imtihan untuk fasa pertama pengajian sudah seminggu melabuhkan tirainya. Langkah daie kini terasa lincahnya. Ziarah, memasakkan, bermalam di rumah mad’u semata-mata kerana mahukan mereka juga merasakan nikmat tarbiyah tersebut. Keindahan apabila meletakkan cinta Allah yang paling megah di hati kita.

Sambil sarapan bersama, kalam daie takkan pernah lekang untuk menyampaikan hadaf yang paling utama, ya, membawa mereka dengan izinNya ke fasa yang lebih harum lagi dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah. Mendengar celoteh mereka bercerita, rasa seronok apabila mereka sangat menghargai kehadiran Allah dalam rutin harian.

“Saya rasa saya dah makin baik kawal emosi saya sebab teringat kata-kata akak, kalau kita sabar, Allah akan bagi nikmat yang lebih manis lagi, walaupun sabar cucikan pinggan kotor di dapur”

Si kakak membalas “kita join usrah la, lagi best.. ada masa untuk kita tingkatkan akhlak, ibadah dan menyucikan jiwa kita ”

Adik2 menjawab “boleh-boleh!!”

Hanya Allah yang layak membalas setiap detik langkah dakwah fardiyah yang kita lakukan. Dan kejayaan bukanlah diukur selepas penerimaan mereka untuk liqo’ imaniyah itu sendiri. Tapi, kejayaan yang sebenar apabila mereka berjaya mengikis jahiliyah sikit demi sedikit di dalam diri dan akhirnya menjadi ‘amileen’ untuk meneruskan risalah, juga kejayaan apabila hati-hati ditemukan di syurga Firdausi milikNya.

Penyusunan waktu juga sangat penting di waktu ini. Apa sahaja taklifat dari sudut pembacaan mahupun perlaksanaan mesti dimulakan dari awal tanpa bertangguh. Cuba berikan yang terbaik biarpun ada sudut yang sedikit kurang. Semoga Allah mengganjari setiap keikhlasan kita meniti hari demi menjadi hamba yang dicintai.

Dakwah terlalu mahal. Dan tiada kehidupan bagi pemuda melainkan apabila dirinya menggabungkan diri dalam dakwah dan tiada kehidupan bagi dakwah itu melainkan adanya rijal yang menghayati dan memperhalusi kefahaman, keyakinan, kerinduan dan jihad di jalan ini.

Akhirnya, gunakan peluang dan nikmat yang Allah kurniakan ini untuk lebih serius memikirkan ubat untuk umat yang sakit dan tertimbus dalam tanah kefasadan

Rabu, 28 Disember 2011

Biar Pena MemujiMu...


Assalamualaikum w.r.t

Alhamdulillah, tiada tanda kesyukuran yang selayaknya untuk Allah s.w.t atas setiap nikmat. Tidak mampu melihat tanpa nikmat mata yang Allah yang kurniakan, tidak mampu mendengar tanpa nikmat telinga, tidak mampu berbicara tanpa nikmat lidah, tidak mampu menjadi hamba yang baik tanpa nikmat keimanan dan Islam, tidak mampu juga menjadi hamba yang redha tanpa nikmat ujian dan cabaran. Sangat-sangat tidak mampu menjadi kekasih dan perindu Allah jika tiada nikmat hati yang basah yang sentiasa mencari ruang membuktikan cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan jalan perjuangan ini.

Berada di tahun akhir pengajian adalah fatrah yang sangat mencabar, daya usaha yang penuh kesungguhan untuk menggenggam segulung ijazah, cuba berusaha sebaiknya walaupun persediaan yang masih lagi kurang semata-mata sebagai hadiah untuk ibu ayah di Malaysia. Juga perasaan hiba apabila memikirkan akan pulang ke ke tanah air, meninggalkan medan tarbiyah yang terlalu manis untuk digambarkan.

Tidak berniat untuk menulis panjang, mungkin sebagai pengubat di kala diri ‘tawaquf’ seketika daripada perkara-perkara idari yang kadangkala membuat diri terasa sempit. Juga berkongsi satu perasaan tenang yang memenuhi jiwa ini apabila dapat menunaikan hak sebagai mahasiswi, ukhti buat akhawat, juga ynag paling manis adalah apabila melalui fatrah ini dalam keadaan hati yang sentiasa mengharapkan Allah buat peneman di kala keresahan dengan pelbagai kemungkinan.

Semoga juhud sebagai seorang pelajar dikala ini sebagai amal jihad untuk memuliakan agama Allah s.w.t, meraih kehidupan yang mulia di dunia dan kebahagiaan yang berkekalan di negeri akhirat. Bekalkan diri dengan niat yang baik, hubungan yang baik dengan Allah dan manusia sekeliling juga saling mendoakan kejayaan antara satu sama lain.

Mabruk muqadddam juga buat ukhti-ukhti yang akan menempuh hari bahagia, ternanti-nanti pengumuman-pengumuman dari ukht yang lain juga. Subhanallah, maha suci Allah menjadikan nikmat berpasangan sebagai satu anugerah buat hamba yang meraikan fitrah dan menyambung kemandirian dakwah atas satu fasa yang kukuh, qudwah bagi masyarakat yang ternanti-nanti keluarga muslim sebagai tempat rujukan dan panduan asas untuk sebuah generasi mujadid, penawar bagi mereka yang terkeliru dengan jatidiri dalam melangkah arus.

Membelek-belek buku “balaghah”, tertarik dengan perumpamaan yang Allah s.w.t ungkapkan di dalam Quran daripada surah Al-Baqarah ayat 187

“Dihalalkan bagimu pada malam hari puasa bercampur dengan isterimu. Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka…”

Allah telah memilih kalimah ‘pakaian’ pada ayat di atas kerana pakaian adalah syiddatul ihtiaj (keperluan yang sangat penting) buat manusia. Lihatlah, betapa akrabnya hubungan suami dan isteri apabila perumpamaan tersebut Allah nukilkan. Perlu saling memerlukan dan menutup segala kekurangan dan aib pasangan masing-masing untuk keharmonian hingga kaki sama-sama melangkah ke syurga Firdausi yang Allah janjikan.

Bitaufiq wannajah untuk semua.

Wallahu A'lam

Khamis, 8 Disember 2011

Ikatan Menuju Ilahi



Saat jiwa terlalu ingin mengerti
Hikmah yang tersembunyi
Disebalik dugaan yang dihadapi
Juga duka yang datang menziarahi

Detik indah mengenali tarbiyah kian membasahi
Langkah demi langkah hingga kian memahami
Hakikat cinta yang terlalu suci untuk dinikmati

kerdilnya diri ini
Apabila dihembus penyakit futur yang rancak memagari
Hampir mencairkan prinsip yang digenggam rapi

Saat itulah kemanisan dakwah memujuk hati
Taburan nikmat atas jalan ini
Juga ganjaran buat duat yang menjalani
Sebuah perjuangan menuju cinta hakiki

Kini,
Rentak ini hanya mengikut alunan dakwah Ilahi
Yang memandu hati sejak ikatan terpatri
Semata-mata untuk islam agar terus tinggi

Jadikan aku penyambung rantai itu
Jadikan aku singa yang berani itu
Jadikan aku salah seorang jil ta’sis itu

Hingga…
Hati ini begitu redha untuk segalanya
Demi dakwah dan tarbiyah ini
Demi syurga firdausil a’la
Buat hamba yang mengikhlaskan diri

~Melangkah bak seorang mujahid menuju Kekasih yang sangat dirindui

Ahad, 23 Oktober 2011

Hati Ini MilikNya



Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah, pujian selayaknya untuk Allah, memberi dan terus memberi tanpa pernah sekali pun meminta. Taklifat yang banyak benar-benar menguji perjalanan kehidupan seseorang individu muslim yang meletakkan dirinya dalam kelelahan perjuangan yang panjang.

Sebagai seorang hamba Allah, anak, wanita, pelajar dan daeiah atau murabbiah. Kesyukuran yang tidak berbelah bagi juga buatMu ya Allah yang masih memberi peluang merasai segarnya haruman iman dan Islam, sentuhan tarbiyah dan ukhwah yang sentiasa memandu keikhlasan amal yang menuntut sesebuah hak yang besar.

Mungkin kali ini artikel agak simple, seronok sebenarnya menulis tanpa terikat dengan format rasmi. Mungkin ada masanya kita senang menguntaikan kalimah yang mudah dalam menyampaikan maani-maani penting buat hati-hati manusia yang membacanya.

Imam syahid Hasan Al-Banna pernah ditanya

“Kenapa anda tidak menulis buku?

IHAB menjawab “buku akan diletakkan di perpustakaan dan hanya sedikit orang yang akan membacanya, tetapi apabila kita membina seorang manusia, manusia tersebut adalah buku yang sentiasa terbuka, kemana sahaja dia berjalan, itu adalah dakwah”

Dan apabila kita meyakini kemenangan Islam akan dicapai dengan membentuk diri dengan sepuluh sifat yang baik ditambahkan pula dengan memberi segalanya buat manusia yang dahaga dalam kepanasan teriknya matahari jahiliyah yang membakar diri, maka disitulah hadirnya pengorbanan dan perubahan diri yang berubah untuk manfaat tersebut.

Sebagai contoh, sifat sebelum ini yang menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang mungkin kurang disenangi oleh orang lain akan berjaya kita ubah kerana memikirkan metode yang dapat menarik minat mad’u kepada daeinya.

Seseorang yang tak suka tersenyum, berubah menjadi manusia yang sangat manis senyumannya kerana hanya itu sahaja cara untuk orang lain menyenangi kita..semata-mata untuk dakwah ini.

Rasulullah s.a.w bersabda

“Senyumanmu pada saudaramu adalah sedekah”

Dan tanpa disedari, hanya dengan kuasa senyuman sahaja mampu untuk melahirkan masyarakat Islam yang wajahnya bercahaya dan saling mencintai. Ini juga adalah barakah daripada sebuah senyuman yang tulus buat saudaranya yang sangat dicintai di jalan Allah.

Allah s.wt pernah menegur Rasulullah tatkala baginda bermasam muka saat ditanya oleh Ibnu Maktum R.A. Allah berfirman

“Dia (Muhammad) bermasam muka dan berpaling, kerana seorang buta yang datang kepadanya. Dan tahukah Muhammad barangkali dia ingin menyucikan dirinya?”
(‘Abasa 1-3)

Contoh ini jelas sebenarnya menunjukkan metode dakwah dan manhaj tarbiyah Rabbani dalam perjuangan baginda yang sangat dirindui.

Antara contoh lain, kita memang bukan seorang yang mudah menghafal nama-nama saudara yang baru kita jumpa. Tapi apabila memikirkan hati mad’u yang sangat senang kita dekati apabila memanggilnya dengan panggilan namanya yang baik..maka disitulah secara seriusnya kita akan memikirkan cara yang terbaik untuk mudah menghafal nama orang dan keistimewaan yang dimilikinya

Rasulullah s.a.w, seorang daei yang selalu menjadi ketenangan dan kesenangan buat hati umatnya, sering mengungkapkan kalimah-kalimah manis yang membuatkan hati mad’unya berkembang mekar apabila mendengar kata-kata tersebut.

Kisahnya begini..

Ada beberapa orang yang ingin menjumpai Rasulullah saw. Salah seorang di antara mereka menceritakan,
"Kami berusaha mencari tahu tentang Rasulullah, kerana kami belum pernah mengenal dan melihatnya.

Kami bertemu dengan seorang lelaki, lalu kami bertanya kepadanya tentang Rasulullah. dia menjawab, 'Apakah kalian mengenalnya?'

Kami menjawab, 'Tidak.'

dia berkata, 'Jika kalian masuk ke dalam masjid, maka Muhammad adalah seseorang yang duduk bersama Abbas bin Abdul Muthalib yang tak lain adalah ayah saudaranya.

Kami menjawab, 'Ya, kami mengenal Abbas, dia sering datang kepada kami untuk berdagang.' dia berkata, 'Jika kalian masuk masjid, maka Muhammad adalah orang yang duduk bersama Abbas.'

Kemudian kami masuk ke dalam masjid dan kami menjumpai Rasulullah yang sedang duduk bersama Abbas. Kami memberi salam, lalu duduk di dekat mereka.

Kemudian Rasulullah bertanya kepada Abbas, 'Wahai Abu Fadl apakah engkau mengenal dua orang ini?'

Abbas menjawab, 'Ya. Ia adalah Bara' bin Ma'rur, seorang pemuka kaum dan ini Ka'ab bin Malik.'

Rasul bertanya, 'Apakah dia penyair yang terkenal itu?' Abbas menjawab, 'Ya.'"

Sungguh, saya tidak pernah melupakan ucapan baginda, "Apakah dia penyair yang terkenal itu?"

Demikianlah metode Rasulullah dalam memikat hati mad'unya.

MasyaAllah akhawat, betapa indahnya peribadi qudwah hasanah yang sering bertamu dihati ummat yang terlalu menginginkan untuk sentiasa berada disisinya.

Semuanya kerana dakwah..

Dan yang paling penting juga seharusnya selepas ikhlas kita sematkan dihati dan selepas itu sentiasalah bermonolog pada diri bahawa segala juhud dan perngorbanan yang kita buat adalah hanya salah satu amal kebajikan di jalan Allah dan bukanlah disebabkan kita dia mendapat petunjuk tetapi semuanya adalah dengan keizinan Allah dan kita akan mencuba dan terus mencuba

Imam Syahid Hasan Al-Banna pernah bertanya kepada seorang akh

“Jika dihadapanmu ada sejemput gula pasir dan sejemput garam, bagaimana anda dapat membezakannya?

Akh itu menjawab “Saya akan merasai keduanya, kerana dengan merasainya pasti kita akan dapat membezakan”

IHAB lantas menyimpulkan “Seperti itu jugalah dakwah, kita akan merasai kepahitan dan kemanisannya”

Akhirnya, jadilah seorang ukhti yang hangat dan bertaamul dengan manusia dengan ruh dan perasaan, cinta kerana Allah yang menjadi kunci membuka pintu hati manusia dan akhirnya bekerjalah

Allah berfirman

“Dan katakanlah, bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasulnya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata, lalu diberitaknNya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan” (At-Taubah 105)

Semoga terus dengan hamasah jihad yang membara

Wallahu A’lam

Khamis, 29 September 2011

Jangan Terus Membisu..


Menyelusuri kehidupan sebagai seorang hamba Allah s.w.t sentiasa dihiasi dengan pelbagai cabaran yang berpanjangan. Arus kemajuan dan pembangunan yang semakin pesat seolah-olah mengaburi pandangan fitrah kemanusiaan yang suci.

Majukah kita apabila melihat stastistik kelahiran bayi luar nikah semakin meningkat?

Modenkah kita apabila lahirnya aliran pemikiran yang membawa masyarakat hanyut dengan ideologi yang menggila?

Fenomena keruntuhan tamadun yang jatuh merundum seiring kemajuan ilmiah dan kepesatan sesebuah negara adalah fenomena yang menjadi tanda tanya dan sering dipertikaikan. Kemunduran ini berlaku secara beransur-ansur sehingga boleh membawa kepada kemusnahan total yang mengejutkan dengan kekuatan yang luar biasa.
Golongan kuffar akan berasa sangsi dengan fenomena ini. Tetapi muslim yang meletakkan Islam sebagai neraca pertimbangan mempunyai satu kata putus terhadap fenomena itu. Saidina Umar Al-Khattab meringkaskan segala tafsiran daripada Al-Quran dan sunnah apabila satu soalan dilontarkan kepadanya:

“Adakah sebuah negeri itu hampir musnah padahal ia makmur?”

Beliau lantas menjawab: “Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik”

Dan inilah punca utama segala kemusnahan dan menularnya penyakit yang paling merbahaya ini. Terjadi apabila orang zalim atau orang fasik berkuasa dan menjadi pemimpin, lantas melantik mereka yang sama-sama menjadi tawanan hawa nafu sepertinya untuk menaungi negara dan menguruskan beberapa urusan.

KEBISUAN MEREKA YANG LAYAK

Kepentingan peribadi menyebabkan mereka semakin rakus meratah dan mendominasi arus modenisasi sesebuah negara dan lebih menyedihkan pihak-pihak yang mampu membuat kebaikan bersembunyi mencari perlindungan untuk melindungi kehormatan mereka daripada diceroboh dan diseksa.

Maha suci Allah yang memberi penangguhan kepada umat Islam tatkala mereka dikuasai oleh orang jahat untuk memberi peluang kepada mereka melakukan proses pemulihan. Andai mereka yang baik terus membisu juga, maka murka Allah s.wt akan meliputi seluruh mustawa umat. Sama ada mereka yang zalim dengan kekejaman mereka mahupun golongan baik yang berdiam diri dan redha dengan kehinaan.

Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya manusia apabila mereka melihat kemungkaran sedangkan mereka tidak mengubahnya, hampirlah Allah meliputi mereka dengan azab daripadaNya”

NYALAKAN PELITA ISLAM DENGAN SUMBU DAKWAH ITU

Allah s.w.t yang maha penyayang sangat suka sekumpulan hambanya yang baik segera memulihkan keadaan dan menentang golongan yang jahat lalu memandu manusia ke jalan keamanan dan keredhaan. Malah apabila kumpulan itu segera melakukan proses pemulihan itu, Allah menyuruh para malaikat untuk menolong mereka dan menganugerahkan berkat dan taufiq daripada Nya.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-A’raf ayat 165

“Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang zalim dengan azab yang keras, disebabkan mereka fasik”

Umat Islam yang mempunyai hati yang sedar dan hidup pasti mempunyai deria sensitiviti yang tinggi untuk mampu berfikir dan menganalisa bahawa kegagalan, kemunduran yang menimpa muslimin di zaman ini hanyalah suatu permulaan dan amaran terhadap azab yang lebih keras di hadapannya.

Sedar mahupun tidak sedar, perjuangan nafas panjang yang kita yakini, apabila bekalannya adalah tarbiyah yang sempurna dalam segenap aspek ditambah dengan semangat jihad di jalan Allah yang membara sebenarnya mampu menjadi kuasa pembakar penentang pada kezaliman.

Momentum tarbiyah dalam nadi individu muslim inilah yang akhirnya melahirkan satu Jemaah qudwah yang hidup dalam naungan Islam yang agung. Realiti kehidupan membawa kita untuk cuba menanam benih-benih dakwah yang hasilnya akan lahir pohon kukuh bertunjangkan akar akidah yang jitu.

‘KANUN PERSAMAAN’ SEBAGAI PANDUAN DUAT

Ketahuilah, Al-Quran melakar dengan jelas kanun persamaan tersebut. Kanun persamaan yang dimaksudkan di sini adalah sesuatu perbuatan mengambil hukum perbuatan yang serupa dengannya.

Abu Ammar menjelaskan lagi definisi tersebut dengan mengatakan:

“Sesuatu perkara perbandingan itu mengambil hukum perbandingan yang seumpama dengannya dan apa yang terjadi kepada sesuatu, terjadi juga pada perkara yang seumpama dengannya”

Perhatikan ayat-ayat suci Al-Quran berikut :

1. “Tidakkah mereka berjalan di atas muka bumi, lalu memperhatikan bagaimana akibatnya golongan sebelum mereka? Allah telah membinasakan mereka; dan untuk golongan kafir (kebinasaan) yang sama seperti itu” (Muhammad : 10)

2. “Bukanlah semata-mata angan –angan kamu sahaja dan bukan semata-mata angan-angan ahli kitab. Barangsiapa mengerjakan kejahatan, nescaya akan dibalas dengan kejahatan pula”
(An-nisa’ : 123)

Sekiranya seorang muslim memahami ayat-ayat di atas, fahamlah kita bahawa Allah mencela dan memusnahkan golongan kuffar dan perkara tersebut pasti akan berlaku lagi kini buat mereka yang melampaui batas mahupun umat Islam yang hanya menjadikan Islam sebagai topeng menyembunyikan kejahilan tanpa amal soleh dan pembentukan diri mengikut acuan Islam.

Kanun persamaan ini tidak mampu difahami oleh mereka yang mengambil sebahagian manfaat daripada Islam sahaja. Hanya pendakwah di jalan Allah s.w.t sahaja yang mampu melaksanakan tugas untuk meninggikan agama Allah dengan seruan dan larangan tanpa mengenal erti putus asa semata-mata niat ikhlas kerana Allah s.w.t juga haruman Firdausi yang hanya mampu membuat duat tersenyum apabila menghadapi mehnah yang panjang.