Khamis, 3 Mei 2012

Menumbuhkan Potensi Tarbiyah

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, segala pujian layaknya untuk Allah s.w.t, yang memandu hati-hati manusia, yang menjaga hambaNya untuk terus menyelusuri kehiduapan di bawah naungan cintaNya Sengaja mencuri waktu menulis, alhamdulillah imtihan syafawi dapat dilalui dengan baik tapi masih lagi mengharapkan kemudahan untuk kertas-kertas yang mendatang.

Kadang-kadang, hati manusia kan dilanda badai kefuturan yang datang bertimpa-timpa tapi selalunya di sebalik itu akan hadir bisikan-bisikan kasih sayang Allah seolah-olah membawa semula manusia ke posisi yang baik dalam hidupnya. Kadangkala juga, jiwa merasa kosong, kosong daripada cinta Allah. Tetapi, apabila niat dijernihkan, maka disitulah akan hadir ketenangan dan keyakinan bahawa Allah sentiasa ada untuk hambaNya. Sering menghantar risikan-risikan cinta yang menjadi bekalan untuk jiwa hamba terus hidup. Dan di sinilah tarbiyah memainkan peranannya.

Tarbiyah adalah cara yang paling ideal untuk berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung atau tidak langsung. Tarbiyah juga penting untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju kondisi yang lebih baik. Mungkin dalam bahasa yang lebih sederhana, tarbiyah merupakan pendidikan atau proses menjadikan objek tarbiyah iaitu manusia semakin sempurna potensinya.

Pasti tarbiyah ruhaniyah yang paling utuh untuk kita bicarakan. Ruh yang kuat dan dididik dengan cahaya keimanan yang diselangi dengan tarbiyah yang berterusan pasti dapat melahirkan peribadi seperti Syekh Ahmad Yasin, perhatikan kekurangan fizikal yang dialaminya tak membuatkan dakwah ni berjalan dengan penuh kekurangan dan kecuaian.

Asasnya, adakah kita sedar kepentingan tarbiyah ruhaniyah ini dalam memupuk dayausaha hamba rabbani yang menjadikan kekuatan dalaman sebagai senjata dan perisai untuk hati kita?

Dilapangan dakwah dan medan jihad akh/ukhti mujahidah sentiasa akan berhadapan dengan pelbagai tentangan. Ujian-ujian tersebut membuatkan jiwa kita tak berdaya menghadapinya dan kita akan lebih selesa untuk menjauhkan diri daripada sebarang risiko. Mereka yang dapat menghadapi kekurangan diri dan berlapang dada dengan sebarang kritikan pasti akan mendapat keberhasilan meskipun esok atau lusa, sedangkan yang lebih suke menyerah, mereka telah kalah untuk mendapat hasil yang lebih baik.

Jadi, mahu atau tidak, tarbiyah ruh adalah bekalan utama bagi pemuda dan aktivis dakwah dalam menghadapi pelbagai kesulitan dan persoalan dalam hidup. Mehnah yang berlaku dalam hidup kita akhirnya harus dihadapi dengan kualiti hati yang prima. Iman yang kuat kepada Allah, keyakinan yang teguh dalam misi ilahiyah yang dipikul, hingga keyakinan akan adanya hari pembalasan di hari akhirat kelak, merupakan unsur-unsur yang terus perlu diperkukuh dalam diri. Semua ini hanya boleh diwujudkan dengan pakej tarbiyah yang berterusan dan serius.

Wallahu a'lam

Rabu, 29 Februari 2012

Intisari Hidup Hamba Rabbani

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, maha suci Allah, pujian kepada Allah dalam setiap episod kehidupan yang berlaku dalam rantaian kehidupan manusia. Episod kehidupan yang membawa hamba Allah semakin dekat dengan robbnya. Kehidupan duat yang membawa islam semakin dekat dengan kemenangan yang dijanjikanNya. Semua episod ini pasti akan menjadi zikrayaat atau kenangan yang paling indah apabila hati ini kembali semula kepada Pencipta di negeri akhirat nanti.

Apabila kaki kita melangkah dari hari ke hari dengan langkahan yang baru, pasti berbagai pengalaman, pengajaran, kenangan suka dan duka yang tercipta. Ada peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita menyebabkan kita semakin bersemangat untuk terus melangkah lagi dan tertanya-tertanya apa lagi episod indah yang Allah susunkan. Dan ada juga terselit peristiwa yang sukar untuk kita lalui dan itu yang menyebabkan manusia semakin kecewa untuk menghadapi detik-cetik kehidupan yang mendatang.

Tetapi ketahuilah, gambaran seorang hamba Allah yang beriman tentang kehidupan dunia adalah dalam lingkungan keredhaan Allah s.w.t dan berbeza dengan hamba yang ingkar. Hamba yang beriman pasti mengimani corak nikmat yang dimilikinya di dunia adalah sandaran untuk memiliki ganjaran yang lebih kekal.

“ Apapun kenikmatan yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan kenikmatan yang ada disisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Allah mereka bertawakal. “ –Assyura ayat 36

Hamba Allah yang beriman juga percaya dan yakin dengan setiap ujian yang dihadapinya adalah salah satu tanda kecintaan Allah dan peningkatan ke darjat yang lebih tinggi di sisi Zat yang lebih kekal. Hamba yang beriman ini menjadikan contoh-contoh kesabaran rasul-rasul terdahulu sebagai hiburan di saat hati gundah dengan helaian ujian yang silih berganti.

Mereka yang memahami manhaj tarbiyah dan bergerak dengan hamasah atau semangat untuk meletakkan Islam sebagai kayu ukur kehidupan dalam segenap aspek juga adalah golongan yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk memandang dengan mizan rabbani di setiap acuan yang berlaku dalam kehidupan yang diselusurinya sepanjang hidup.

Bermula dengan generasi sahabat yang mendapat didikan secara langsung oleh Rasulullah yang amat kita rindui. Mereka adalah generasi pertama yang bergerak dan bernafas dengan udara tarbiyah rabbaniah dan kesannya kehidupan ketika jahiliyah yang dirasakan tanpa tujuan bertukar kepada kefahaman yang jelas tentang tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi (perhambaan semata-mata kerana Allah/taabbud kholis lillah)
Sukar untuk membayangkan, bagaimana jelasnya hadaf (tujuan) mereka untuk meninggikan kalimah Allah dan sayangnya mereka kepada rasulullah membuatkan mereka tidak kekok untuk meletakkan syahid di jalan Allah adalah impian terindah yang begitu diidamkan.

Perang Uhud yang menjadi pengajaran besar untuk umat Islam telah menjadi saksi qudwah sahabat dalam mempertahankan rasulullah.

Abu Talhah Al-ansori : Pemanah yang cekap dan sentiasa berada di hadapan rasulullah ketika saat-saat genting kemuncak kerakusan kuffar menyerang kekasih Allah. Beliau lantas berkata kepada baginda “Jiwa ragaku menjadi penebus kepada jiwamu dan mukaku adalah benteng kepada mukamu”

Abu Dujanah Simaak bin Kharasyah Al-Ansori : Menjadi benteng kepada rasullullah dengan tubuhnya. Satu persatu anak panah hinggap ditubuhnya tetapi tetap tegar berada di hadapan Rasulullah

Ziyad bin Imarah : Mempertahankan baginda sehingga beliau syahid dengan luka yang banyak. Saat luka parah yang dirasainya semakin memuncak, baginda terus membaringkan Ziyad di peha baginda sehinggalah beliau gugur syahid.

Jauh dihati sahabat kesanggupan mereka menggadaikan nyawa menjadi benteng untuk rasulullah adalah semata-mata kerana kemanisan nikmat cahaya keimanan yang dirasainya selepas kegelapan jahiliyah yang mencorak separuh kehidupan mereka dahulu.
Cinta kepada risalah adalah faktor utama mereka untuk tetap teguh berada di sisi baginda saat serangan bertubi-tubi musuh Allah cuba memutuskan nyawa islam yang semakin berkembang.

Generasi yang datang selepas pemergian rasulullah adalah generasi-generasi yang menggalas beban yang lebih besar. Kualiti kita pasti bukan sebaik kualiti generasi pertama tetapi lihatlah kepada ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t buat mereka yang benar-benar ikhlas beramal.

Jahiliyah yang ditempuh oleh generasi duat kini adalah jahiliyah yang sudah bercampur dengan berbagai pemikiran-pemikiran yang merosakkan. Jadi, yang menjadi bekalan kekuatan adalah kesabaran dan meneliti rentetan sirah kepayahan sahabat menyambung ruh dakwah sehingga generasi kini.

Kita benar-benar meyakini janji rasulullah tentang kehadiran khilafah rasyidah iaitu Negara khilafah yang terbina sesuai dengan ajaran Islam di akhir zaman. Negara yang memperbaharui semangat muslimin saat lelah dengan serangan bertubi-tubi sang jahiliyah.

Episod kehidupan mereka yang beramal untuk islam walaupun dihiasi dengan duri-duri mehnah tidak sama sekali mengubah pendirian mahupun himmah mereka. Malah ujian-ujian berat yang dihadapi adalah pembuktian kepada kebenaran jalan tarbiyah dan dakwah yang diimani, lantas menjadi penolak untuk terus mengimpikan bidadari-bidadari syurga yang setia menanti.

Seorang akh daripada Ikhwanul Muslimin yang ditangkap dan dipenjarakan sering tersenyum sendirian di sebalik jaring besi yang melingkarinya. Keadaan beliau menyebabkan seorang tahanan tertanya-tanya;

“kenapa kau sering tersenyum seolah-olah gembira dengan siksaan yang dihadapi?”

Dengan lapang hati si akh tadi menjawab;

“sebelum ni aku tertanya-tanya betulkah jalan tarbiyah dan dakwah yang aku ikut ni, tetapi siksaan dan kesusahan yang aku hadapi kini adalah jawapan kepada kebenaran yang kita fahami selama ni”

Selama-mana rancaknya kuffar menyerang dengan percubaan memutuskan satu-persatu nyawa umat Islam, selagi itulah generasi kebangkitan ini akan terus melangkah membina dan mempersiapkan rijal dengan panduan rabbani dan iringan malaikat-malaikat yang dihantar oleh Allah buat mereka yang meletakkan jihad sebagai wasilah melindungi agama Allah ini.

~ Teruskan berdoa untuk umat Islam di Syria, Palestin dan disemua tanah yang dipijak oleh umat Islam.

Rabu, 25 Januari 2012

Dakwah Adalah Muqaddimah Setiap Sesuatu

Assalamualaikum w.r.t
Alhamdulillah, segalanya buat Allah atas setiap perkara.

Imtihan untuk fasa pertama pengajian sudah seminggu melabuhkan tirainya. Langkah daie kini terasa lincahnya. Ziarah, memasakkan, bermalam di rumah mad’u semata-mata kerana mahukan mereka juga merasakan nikmat tarbiyah tersebut. Keindahan apabila meletakkan cinta Allah yang paling megah di hati kita.

Sambil sarapan bersama, kalam daie takkan pernah lekang untuk menyampaikan hadaf yang paling utama, ya, membawa mereka dengan izinNya ke fasa yang lebih harum lagi dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah. Mendengar celoteh mereka bercerita, rasa seronok apabila mereka sangat menghargai kehadiran Allah dalam rutin harian.

“Saya rasa saya dah makin baik kawal emosi saya sebab teringat kata-kata akak, kalau kita sabar, Allah akan bagi nikmat yang lebih manis lagi, walaupun sabar cucikan pinggan kotor di dapur”

Si kakak membalas “kita join usrah la, lagi best.. ada masa untuk kita tingkatkan akhlak, ibadah dan menyucikan jiwa kita ”

Adik2 menjawab “boleh-boleh!!”

Hanya Allah yang layak membalas setiap detik langkah dakwah fardiyah yang kita lakukan. Dan kejayaan bukanlah diukur selepas penerimaan mereka untuk liqo’ imaniyah itu sendiri. Tapi, kejayaan yang sebenar apabila mereka berjaya mengikis jahiliyah sikit demi sedikit di dalam diri dan akhirnya menjadi ‘amileen’ untuk meneruskan risalah, juga kejayaan apabila hati-hati ditemukan di syurga Firdausi milikNya.

Penyusunan waktu juga sangat penting di waktu ini. Apa sahaja taklifat dari sudut pembacaan mahupun perlaksanaan mesti dimulakan dari awal tanpa bertangguh. Cuba berikan yang terbaik biarpun ada sudut yang sedikit kurang. Semoga Allah mengganjari setiap keikhlasan kita meniti hari demi menjadi hamba yang dicintai.

Dakwah terlalu mahal. Dan tiada kehidupan bagi pemuda melainkan apabila dirinya menggabungkan diri dalam dakwah dan tiada kehidupan bagi dakwah itu melainkan adanya rijal yang menghayati dan memperhalusi kefahaman, keyakinan, kerinduan dan jihad di jalan ini.

Akhirnya, gunakan peluang dan nikmat yang Allah kurniakan ini untuk lebih serius memikirkan ubat untuk umat yang sakit dan tertimbus dalam tanah kefasadan