Rabu, 28 Disember 2011
Biar Pena MemujiMu...
Assalamualaikum w.r.t
Alhamdulillah, tiada tanda kesyukuran yang selayaknya untuk Allah s.w.t atas setiap nikmat. Tidak mampu melihat tanpa nikmat mata yang Allah yang kurniakan, tidak mampu mendengar tanpa nikmat telinga, tidak mampu berbicara tanpa nikmat lidah, tidak mampu menjadi hamba yang baik tanpa nikmat keimanan dan Islam, tidak mampu juga menjadi hamba yang redha tanpa nikmat ujian dan cabaran. Sangat-sangat tidak mampu menjadi kekasih dan perindu Allah jika tiada nikmat hati yang basah yang sentiasa mencari ruang membuktikan cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan jalan perjuangan ini.
Berada di tahun akhir pengajian adalah fatrah yang sangat mencabar, daya usaha yang penuh kesungguhan untuk menggenggam segulung ijazah, cuba berusaha sebaiknya walaupun persediaan yang masih lagi kurang semata-mata sebagai hadiah untuk ibu ayah di Malaysia. Juga perasaan hiba apabila memikirkan akan pulang ke ke tanah air, meninggalkan medan tarbiyah yang terlalu manis untuk digambarkan.
Tidak berniat untuk menulis panjang, mungkin sebagai pengubat di kala diri ‘tawaquf’ seketika daripada perkara-perkara idari yang kadangkala membuat diri terasa sempit. Juga berkongsi satu perasaan tenang yang memenuhi jiwa ini apabila dapat menunaikan hak sebagai mahasiswi, ukhti buat akhawat, juga ynag paling manis adalah apabila melalui fatrah ini dalam keadaan hati yang sentiasa mengharapkan Allah buat peneman di kala keresahan dengan pelbagai kemungkinan.
Semoga juhud sebagai seorang pelajar dikala ini sebagai amal jihad untuk memuliakan agama Allah s.w.t, meraih kehidupan yang mulia di dunia dan kebahagiaan yang berkekalan di negeri akhirat. Bekalkan diri dengan niat yang baik, hubungan yang baik dengan Allah dan manusia sekeliling juga saling mendoakan kejayaan antara satu sama lain.
Mabruk muqadddam juga buat ukhti-ukhti yang akan menempuh hari bahagia, ternanti-nanti pengumuman-pengumuman dari ukht yang lain juga. Subhanallah, maha suci Allah menjadikan nikmat berpasangan sebagai satu anugerah buat hamba yang meraikan fitrah dan menyambung kemandirian dakwah atas satu fasa yang kukuh, qudwah bagi masyarakat yang ternanti-nanti keluarga muslim sebagai tempat rujukan dan panduan asas untuk sebuah generasi mujadid, penawar bagi mereka yang terkeliru dengan jatidiri dalam melangkah arus.
Membelek-belek buku “balaghah”, tertarik dengan perumpamaan yang Allah s.w.t ungkapkan di dalam Quran daripada surah Al-Baqarah ayat 187
“Dihalalkan bagimu pada malam hari puasa bercampur dengan isterimu. Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka…”
Allah telah memilih kalimah ‘pakaian’ pada ayat di atas kerana pakaian adalah syiddatul ihtiaj (keperluan yang sangat penting) buat manusia. Lihatlah, betapa akrabnya hubungan suami dan isteri apabila perumpamaan tersebut Allah nukilkan. Perlu saling memerlukan dan menutup segala kekurangan dan aib pasangan masing-masing untuk keharmonian hingga kaki sama-sama melangkah ke syurga Firdausi yang Allah janjikan.
Bitaufiq wannajah untuk semua.
Wallahu A'lam
Khamis, 8 Disember 2011
Ikatan Menuju Ilahi
Saat jiwa terlalu ingin mengerti
Hikmah yang tersembunyi
Disebalik dugaan yang dihadapi
Juga duka yang datang menziarahi
Detik indah mengenali tarbiyah kian membasahi
Langkah demi langkah hingga kian memahami
Hakikat cinta yang terlalu suci untuk dinikmati
kerdilnya diri ini
Apabila dihembus penyakit futur yang rancak memagari
Hampir mencairkan prinsip yang digenggam rapi
Saat itulah kemanisan dakwah memujuk hati
Taburan nikmat atas jalan ini
Juga ganjaran buat duat yang menjalani
Sebuah perjuangan menuju cinta hakiki
Kini,
Rentak ini hanya mengikut alunan dakwah Ilahi
Yang memandu hati sejak ikatan terpatri
Semata-mata untuk islam agar terus tinggi
Jadikan aku penyambung rantai itu
Jadikan aku singa yang berani itu
Jadikan aku salah seorang jil ta’sis itu
Hingga…
Hati ini begitu redha untuk segalanya
Demi dakwah dan tarbiyah ini
Demi syurga firdausil a’la
Buat hamba yang mengikhlaskan diri
~Melangkah bak seorang mujahid menuju Kekasih yang sangat dirindui
Langgan:
Catatan (Atom)