Ibarat seorang pedagang yang baru selesai daripada menguruskan perniagaannya, pasti perkara yang utama baginya adalah menghitung keuntungan atau kerugiannya.
Begitu pula dengan kehadiran tetamu agung ini yang meletakkan seorang hamba yang beriman dengan hari akhirat untuk kembali menganalisa kekuatan amal yang dikumpulkan di sepanjang Ramadan; adakah amalan tersebut mampu menjadi pembebasan daripada kebengisan api neraka yang menyala?
Bagaimana selepas Ramadan?
Persoalan yang akan manusia lontarkan berkesinambungan dari madrasah Ramadan dan pembuktian yang akan diaplikasikan untuk kehidupan mendatang.
Nilaian ketaqwaan
Formula pembinaan hamba yang bertaqwa sering kita alunkan sepanjang tilawah kita bersama Al-Quran. Malah, Al-Quran dalam pandangannya yang menyeluruh untuk segenap makhluk dan kehidupan di muka bumi ini telah menerangkan kepada kita satu manhaj yang amali dalam mempersiapkan keperluan manusia bagi melahirkan generasi bertaqwa.
Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 29 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan furqan (kemampuan membezakan antara hak dan batil) kepadamu dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah memiliki kurnia yang besar.”
Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah (Surah Al-Anfal:29) menyatakan:
“Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan keampunan dan memaafkan sebarang kesalahan, bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan, bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang Maha Besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan, di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian. Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”
Dalam madrasah rabbaniyah (bersifat ketuhanan) ini, ia telah menyediakan kepada mereka yang bertaqwa sebaik-baik persiapan dalam segenap aspek iaitu ruh, pembentukan keimanan dan pentarbiyahan kejiwaan yang menyeluruh. Alangkah indahnya jika dengan bekalan ini yang akhirnya membawa kita bertemu dengan Allah SWT dengan susuk tubuh hamba yang rabbani.
Pemuda dan kekuatan
Untuk pemuda fikrah yang meletakkan tujuan kehidupannya hanya untuk Allah SWT, tempoh masa selepas berlalunya Ramadan merupakan saat-saat genting baginya. Mengikuti modul latihan realiti pembinaan generasi bertaqwa selama sebulan, pasti hasilnya yang baik akan terhasil. Pemuda yang digerakkan oleh iman, didorong oleh akidah, didisiplinkan dengan hukum-hukum syariah dan yang paling penting menghasilkan peribadi yang dihiasi dengan akhlak Islam yang cemerlang.
Hal ini sangat penting bagi pemuda yang menginginkan kebangkitan Islam bersinar kembali. Generasi Al-Quran yang dibina oleh Rasulullah SAW sentiasa merindui dan menantikan kembalinya Ramadan bagi memperbaharui jiwa dan memperkasakan iman mereka, lantas menjadi ruhul jaded (roh baru) yang bersikap luar biasa sehingga memungkinkan dunia jahiliyah tunduk kepada kebenaran Al-Quran dan Islam yang dijuangkan.
Umar Al-Khattab pernah bertanyakan Ubai bin Kaab tentang taqwa :
Ubai bertanya , “Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri?”
Umar menjawab, “Bahkan.”
Dan Ubai bertanya lagi, “ Apa yang engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut?”
Jawab Umar, “Aku berhati-hati dan berusaha (melepasinya).”
Ubai berkata “Maka yang demikian itulah ketaqwaan.”
Melalui definisi ketaqwaan yang dinyatakan oleh Ubai bin Kaab, Sayyid Qutb menjelaskan dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran:
“Yang demikian itulah ketakwaan, kehalusan rasa dalam tindakan, keheningan pada perasaan, ketakutan yang berterusan, kesentiasaan di dalam kewaspadaan dan pemeliharaan (diri) dan ranjau-ranjau di jalan. Jalan kehidupan. Jalan yang sentiasa dirintangi oleh ranjau-ranjau keinginan hawa nafsu, ranjau-ranjau kehalobaan, kebanggaan serta yang menakutkan dan menggetarkan hati, ranjau-ranjau tipuan pengharapan bagi mereka yang tidak mempunyai pengharapan. Tiupan ketakutan dari mereka yang tidak memberikan kemanfaatan serta kemudaratan dan puluhan macam ranjau-ranjau yang lain.”
Segalanya milik Allah
Untuk akhirnya, kita harus menyedari bahawa diri kita adalah milik Allah. Allah lah yang Maha Menguasai diri, fikiran dan tubuh kita. Oleh kerana itu, kita harus memohon kepada Allah agar setelah Ramadan, kita masih diberi tekad, kekuatan, dan kemampuan untuk menjaga dan meningkatkan amalan-amalan yang telah kita laksanakan. Kita harus memohon kepada Allah Yang Menguasai semua makhluk agar dilindungi dari segala godaan dan bisikan syaitan. Dengan berlindung kepada Allah, mudah-mudahan syaitan tidak mempunyai kekuatan lagi untuk menggoda kita.
Kita juga harus menyedari bahawa kita adalah hamba Allah dan bukanlah hamba Ramadan mahupun hamba kepada hawa nafsu. Kita beramal dan beribadah semestinya bukanlah kerana Ramadan tetapi hanya kerana cinta kita yang mendalam kepada Allah. Dengan kasih sayang-Nya yang telah menetapkan bulan Ramadan sebagai bulan yang penuh keistimewaan dan kelimpahan ampunan dan pahala. Namun demikian, hal tersebut tidak bererti bahawa kasih sayang-Nya berkurang pada bulan-bulan lain. Jika kita bersungguh-sungguh, pastinya Allah akan memberikan kemudahan kepada kita untuk menjaga kesinambungan amal pasca Ramadan. Maka, tingkatkanlah perhatian kita terhadap pengaruh hawa nafsu yang mampu menghakis konsistensi amal kita terutama selepas berakhirnya Ramadan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan