Isnin, 6 Jun 2011

Syurga di depanmu.

Bismillahirrahmanirrahim

Terasa rindu untuk melihat wajah Allah s.w.t

Rindu ingin berada di sisi rasulullah s.a.w

Rindu untuk melihat indahnya syurga yang Allah s.w.t sediakan

Cukup hanya mengharap mampu melihatnya,terasa malu untuk mengharap lebih daripada itu (memasukinya) dalam keadaan diri yang sangat kecil di mataNya.

Baginda bersabda “ballighu ‘anni walau aayah”

Alhamdulillah, mencuri sedikit waktu untuk berkongsi,meskipun manfaatnya hanya sedikit cuma.

Membaca kisah kenangan para sahabat bersama rasul,hati dilanda cemburu.
Sedih,tak diberi peluang seperti mereka.Melihat senyuman indah,mendengar kata-kata taujihat,senda gurau baginda.Indahnya saat-saat sahabat melakar memori bersama kekasih Allah.

Tapi,adakah hanya alasan tidak pernah hidup bersama rasulullah,kita lantas menolak untuk meneruskan risalah yang baginda bermati-matian mempertahankannya?

Tidakkah kita pernah mendengar hadis yang cukup menyentuh perasaan ummat yang tak pernah sekali pun menatap wajah bersih baginda?

Rasulullah bersabda.

“Aku tersangat rindu kepada para Ikhwanku.”
Maka bertanyalah para sahabat,

“Ya Rasulullah SAW, bukankah kami ini Ikhwanmu?”

Rasulullah SAW menjawab,

“Bukan, malah kamu adalah sahabatku. Sedangkan Ikhwanku adalah orang yang beriman denganku walaupun mereka tidak pernah melihatku.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA

Malah kehidupan kekasih seolah-olah disusun cantik oleh Allah s.w.t yang manfaatnya dapat dirasai oleh ummat keseluruhannya,generasi terdahulu hingga kini.

Seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Rabi’ah bin Ka’ab suatu ketika pernah melayani Nabi SAW dengan penuh khidmat. Beliau mengambilkan air untuk berwudu’ kepada Baginda setiap kali hendak solat juga memenuhi semua hajat dan keperluan Baginda.

Untuk membalas kebaikan ini, Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Wahai Rabi’ah, mintalah sesuatu daripadaku”.

Rabiah menjawab: “Aku minta agar dapat bersama tuan nanti di syurga”.

Baginda bersabda lagi: “Apakah ada permintaan yang lain?”. Rabi’ah berkata: “Itu sahaja”.

Rasulullah SAW lalu bersabda yang bermaksud: “Maka bantulah aku dengan memperbanyakkan sujud”.
[Riwayat Muslim]

Hadis ini membuka jalan bagi kita untuk menjadi jiran Rasulullah SAW di dalam syurga firdaus, iaitu dengan cara memperbanyakkan solat sunah. Semakin banyak rakaat solat sunah yang kita lakukan, semakin besar kesempatan kita untuk menempati syurga firdaus bersama-sama Rasulullah SAW.

Allah memberi kita peluang yang sangat bernilai untuk melihat,membaca,mencontohi para sahabat yang perjalanan hidup mereka dipenuhi dengan mehnah dan lelah yang panjang.Malah Allah sendiri tidak sanggup memilih kita untuk berada bersama saf awal generasi penggerak sebab takut kita tak mampu bertoleransi dengannya.



Tarbiyah secara langsung baginda kepada sahabat akhirnya melahirkan peribadi-peribadi qowwiy yang hanya ada di hadapan mereka syurga yang terbentang luas.
Mereka melihat syurga,tanpa ada kelazatan dunia yang menghijabnya.

Firman Allah dalam surah Al ‘Emmran ayat 14
“dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan,berupa wanita-wanita,anak-anak,harta benda yang berbentuk emas dan perak,kuda pilihan,haiwan ternak dan sawah ladang.itulah kesenangan hidup di dunia,dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik”

Allah meneruskan kalimatnya,memandu kita arah yang lebih baik dari ayat di atas melalui ayat 15

“katakanlah,mahukah aku khabarkan padamu apa yang lebih baik dari demikian itu? Bagi orang-orang yang bertaqwa di sisi tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya,dan pasangan-pasangan yang suci,serta redha Allah.Dan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya”

MEREKA ADALAH INSPIRASI

Contohi Shuhaib Ar-Rumi,menjual keuntungan dunia dengan keuntungan akhirat yang lebih agung.

Contohi Hanzalah,seruan jihad memanggilnya untuk segera menuju syurga,meskipun meninggalkan kemesraan si isteri yang baru sahaja dinikahinya.

Contohi Khansa’,melepaskan permata-permata hati yang dididik sedari kecil semata-mata untuk menyambung nyawa dakwah meskipun nyawa sendiri sanggup dikorbankan.Hati lembut seorang ibu menjadi kuat kerana beliau melihat syurga di hadapannya.

TARBIYAH UNTUK MENGUATKAN

Akhawat, rasulullah yang amat kita rindui tidak langsung meninggalkan ‘dunia’ pada kita hatta satu dirham.Tetapi baginda mewariskan harta yang cukup mahal (al-quran dan sunnah),berpeganglah pada keduanya,maka imbalannya adalah syurga firdausil a’la.
Jangan pernah rasa sakit dengan tarbiyah su’ubah (susah,perit) yang kita lalui,jihad untuk melawan hawa nafsu,dakwah yang ada pasang surutnya.

Mari kita bersama-sama muhasabah diri dan melihat kekurangan kita melalui jaulah imaniyyah yang panjang untuk memurnikan akidah,meningkatkan ibadah,memperbaiki akhlak dan meneguhkan hati. Kita harus mensucikan dakwah ini atas dasar akidah imani dan tarbiyah yang somim.

APLIKASI MUDAH PERLUKAN ISTIQOMAH

Ayat 14 dan 15 surah Al ‘Emmran sudah pun kita sentuh.Sekarang lihat pula ayat seterusnya 16,17 dan 18, maha suci Allah mengajar kita cara untuk mempraktikkan.

“(iaitu) orang-orang yang berdoa, ‘ya tuhan kami,kami benar-benar beriman,maka ampunilah dosa-dosa kami dan lidungilah kami dari azab neraka”

“(juga) orang yang sabar,orang yang benar,orang yang taat,orang yang menginfaqkan hartanya,dan orang yang memohon keampunan pada waktu sebelum fajar”
“Allah mengatakan tiada tuhan selainNya,(demikian pula) para malaikat dan orang berilmu yang menegakkan keadilan,tiada tuhan selain Dia,yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana”


Jawapan untuk melihat syurga ada ditangan kita, tarbiyah dan dakwah yang kita sama-sama meyakininya adalah sangat panjang,lebih panjang dari waktu yang kita pernah berikan sebelumnya.

Sumbernya adalah quran dan sunnah,akhlak yang baik,doa dan istighfar kita di sepertiga malam terakhir. Ia mengajar kita perkataan dan perbuatan yang benar,malah menafikan keegoan hamba terhadap Rabbnya.

Hati seorang daei harus dilazimi dengan perkara yang baik sebagai ibadah,kegembiraan dan harapan pahala.Juga harus dibersihkan daripada karat-karat jahiliyah supaya ianya juga menjadi satu ibadah,lari daripada murka Allah dan gerun akan seksaanNya.

Ya Allah,jadikan kami seperti generasi pertama
KeredhaanMu menjadi bekalan kehidupan kami
Sirah kekasihMu menjadi penguat azam kami

Wahai Rasullullah
Sungguh, kami mencintaimu
Nantikan kami menuju telaga syurga
Di mana dirimu setia menanti ummatmu

“GENERASI HARAPAN UMMAT KINI AKAN TERBANG BAK SEKAWAN BURUNG, MENUJUMU YA ALLAH DENGAN SEGERA”

1 ulasan: